Open Letter

 

Menegakkan Keagungan Perlembagaan Persekutuan

Kepada : Kerajaan Malaysia

Kami, penandatangan dibawah ini, semua rakyat Malaysia daripada pelbagai keturunan dan berpegangan ugama merasa khuatir mengenai peristiwa-peristiwa dan kenyataan-kenyataan baru-baru ini yang membawa kesan menghakisi atau meruntuhkan keagungan Perlembagaan Persekutuan.

Kami ingin memperingatkan pemimpin-pemimpin nasional kami bahawa Fasal 4 (1) dengan sebegitu jelas mengisytiharkan bahawa Perlembagaan itu adalah undang-udang utama Persekutuan dan bahawa ikrar perjawatan kesemua ahli parlimen, menteri-menteri dalam kabinet dan para hakim adalah secara khusus untuk mempertahankan Perlembagaan.

Selanjutnya Fasal 3 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa ‘Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan, tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai dimana-mana bahagian Persekutuan’. Laporan Suruhanjaya Perlembagaan Persekutuan Malaya 1956 - 1957 telah menyatakan bahawa Fasal ini tidak bermaksud bahawa negara ini bukan sebuah negara sekular. Mahkamah Agung Malaysia dalam kes Che Omar Che Soh (1988) telah mengesahkan bahawa undang-undang negara ini masih adalah undang-undang sekular.

Namun demikian, secara lebih kerap kita kini mendengar dakwaan bahawa kononnya Malaysia adalah sebuah negara Islam.

Kebebasan dan keadilan untuk kesemua rakyat Malaysia hanya boleh tercapai secara berkesan melalui satu badan kehakiman yang bebas dengan kuasa-kuasa mengkaji semula yang sepenuhnya. Malangnya, rakyat Malaysia telah menyaksikan satu peninggalan kuasa tersebut oleh hakim-hakim kita yang secara hamper keseluruhan diakibatkan atau berpunca daripada satu pindaan yang tidak wajar kepada Perlembagaan pada tahun 1988. Dalam kes-kes baru-baru ini di Mahkamah-Mahkamah Tinggi, hakim-hakim telah enggan untuk memutuskan isu-isu penting berlandaskan hanya atas alasan bahawa ia melibatkan unsur-unsur undang-undang Islam, dengan kesan litigan terbiar tanpa apa jua remedi. Keadaan sedemikian merupakan sesuatu yang amat tidak memuaskan dan tidak harus dialami oleh masyarakat tamadun.

Kami mengakui bahawa semangat Perlembagaan merangkumi nilai-nilai sejagat demokrasi, pemerintahan baik, kesaksamaan dan penghormatan kepada kesemua orang.Ini adalah bersesuaian dengan prinsip-prinsip semua agama dan kepercayaan yang ada di Malaysia.

Oleh yang demikian kami :

  • menyeru kerajaan dan badan kehakiman untuk mendukung keagungan Perlembagaan Persekutuan.

  • menyeru kerajaan untuk memastikan pemerintahan sejajar dengan peruntukkan-peruntukkan Perlembagaan Persekutuan dan berlandaskan nilai-nilai sejagat kesemua rakyat Malaysia.

  • menyeru kerajaan untuk mengesahkan bahawa Malaysia tidak akan menjadi satu negara teokratik.

  • menyeru kerajaan supaya merestui kedudukan sewajarnya badan kehakiman dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan sebagai sebuah anggota Kerajaan Persekutuan yang bebas dan standing.

Dengan ikhlas.

Yang bertandatangan di bawah.