GABUNGAN YANG DIPANGGIL ARTIKEL 11: MITOS DAN FAKTA

 

1. Apakah kandungan Perkara (Artikel) 11 di dalam Perlembagaan Persekutuan?

Ia menjamin kebebasan beragama. Perkara 11 ditakrifkan seperti berikut:

“11. Kebebasan beragama.

(1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.

(2) Tiada seorang pun boleh dipaksa membayar apa-apa cukai yang hasilnya diuntukkan khas kesemuanya atau sebahagiannya bagi maksud sesuatu agama selain agamanya sendiri.

(3) Tiap-tiap kumpulan agama berhak --

(a) menguruskan hal ehwal agamanya sendiri;

(b) menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi maksud agama atau khairat; dan

(c) memperoleh dan mempunyai harta dan memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang.

(4) Undang-undang Negeri, dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

(5) Perkara ini tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral.”

2. Apakah itu gabungan Artikel 11?

Artikel 11 adalah nama satu gabungan kumpulan-kumpulan sivil dari pelbagai latar belakang.

3. Mengapa gabungan ini ditubuhkan?

Ia ditubuhkan untuk mencari penyelesaian bagi kes-kes dan masalah yang dihadapi oleh beberapa rakyat Malaysia yang melibatkan penafsiran peruntukan-peruntukan tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan. Sebagai contoh:

Shamala adalah seorang ibu beragama Hindu yang suaminya telah memeluk agama Islam. Suami beliau kemudian menukar agama kedua-dua anak kecil mereka kepada agama Islam tanpa pengetahuan dan persetujuannya. Mahkamah Tinggi sivil enggan menghormati hak Shamala sebagai ibu kepada anak-anak ini, dan telah mengarahkan beliau untuk membesarkan anak-anaknya sebagai orang Islam dan beliau tidak boleh mendedahkan mereka kepada agama anutannya iaitu Hindu. Dikatakan bahawa memandangkan anak-anak ini kini telah beragama Islam, maka hanya Mahkamah Syariah yang layak untuk menentukan status agama mereka, walaupun hakim mengakui bahawa Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes Shamala kerana beliau bukan beragama Islam. Akibatnya, Shamala tidak mempunyai cara untuk mendapatkan keadilan.

Pihak berkuasa berkenaan agama Islam telah mendapatkan perintah Mahkamah Syariah untuk mengisytiharkan Encik Moorthy, wira pendaki Gunung Everest, sebagai seorang Islam di saat kematiannya. Mereka berbuat demikian tanpa kehadiran balu Moorthy, Puan Kaliammal. Puan Kaliammal cuba untuk mendapatkan pengisytiharan dari mahkamah sivil bahawa suami beliau adalah seorang Hindu semasa dia meninggal dunia, namun mahkamah enggan mendengar kesnya. Justeru, Puan Kaliammal tidak mempunyai cara untuk mendapatkan penyelesaian di mana-mana mahkamah.

4. Apakah misi gabungan ini?

Misi Artikel 11 adalah untuk memastikan sebuah negara Malaysia yang:

  • mendukung keluhuran Perlembagaan Persekutuan;

  • melindungi setiap orang secara sama rata tanpa mengira agama, bangsa, keturunan, tempat lahir atau gender; dan

  • berasaskan, dan mendukung, kedaulatan undang-undang.

5. Apakah yang ingin dicapai oleh Artikel 11?

Matlamat kami adalah untuk mempertingkatkan kesedaran, membela dan menyumbang terhadap sebuah negara Malaysia yang mana dalam kehidupan seharian, tiap-tiap orang di Malaysia:

  • memperdaulatkan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang teragung di negara ini;

  • giat membina perpaduan nasional;

  • mengesahkan hak setiap orang bagi mendapat keadilan secara penuh dan sewajarnya;

  • memperakui tentang perlunya satu badan kehakiman yang saksama, bebas dan setaraf dengan badan-badan kerajaan lain dalam kerangka kerajaan;

  • memperakui bahawa Perlembagaan Persekutuan merangkumi persetujuan di antara pelbagai masyarakat di Malaysia;

  • menghormati jaminan-jaminan di dalam Perlembagaan yang memberikan perlindungan sama rata kepada setiap orang dalam negara Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum dan pelbagai agama;

  • melindungi hak-hak asasi bagi setiap orang;

  • menghormati kebebasan berfikir, perasaan hati sanubari, kepercayaan dan agama setiap orang; dan

  • memastikan Malaysia tidak menjadi sebuah negara teokratik.

6. Apakah aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan oleh gabungan?

Surat terbuka

Pada Jun 2006, Artikel 11 telah menyampaikan sepucuk surat terbuka kepada Perdana Menteri bertajuk, “Menegakkan Keagungan Perlembagaan Persekutuan”, yang disokong lebih kurang 20,000 tandatangan. Surat ini menyeru pihak kerajaan/kehakiman agar:

  • mendukung keagungan Perlembagaan Persekutuan;

  • memastikan pemerintahan negara sejajar dengan peruntukkah-peruntukkan Perlembagaan Persekutuan dan berdasarkan nilai-nilai sejagat kesemua rakyat Malaysia;

  • mengesahkan bahawa Malaysia tidak akan menjadi satu negara teokratik; dan

  • merestui kedudukan sewajarnya badan kehakiman dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan sebagai sebuah anggota Kerajaan Persekutuan yang bebas dan setanding.

Sila ke laman http://www.petitiononline.com/constsup/petition.html untuk membaca surat terbuka tersebut.

Gabungan ini telah berulang kali menyatakan hasrat hendak bertemu dengan Perdana Menteri untuk membincangkan isi surat terbuka dan isu-isu lain yang berkaitan, namun tiada sebarang jawapan diterima setakat ini.

Forum umum

Sejak 2004, Artikel 11 telah terlibat dalam penganjuran lima forum umum yang memberi tumpuan kepada hak-hak setiap orang di Malaysia, yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang yang teragung di Malaysia. Forum-forum itu juga mengutarakan keperitan yang dihadapi oleh beberapa individu yang tidak dapat memperolehi keadilan di mahkamah.

Malangnya, dua daripada forum itu telah diganggu oleh perusuh-perusuh yang dianjurkan oleh sebuah kumpulan yang menamakan diri mereka Badan Anti IFC (BADAI). Mereka membuat tuduhan tidak benar kononnya Artikel 11 cuba untuk menghidupkan semula Suruhanjaya Antara Agama (IFC) dan juga menghina undang-undang Syariah dan Islam. Walaupun seorang Menteri telah memanggil perbuatan kumpulan penyerbu ini “bodoh” (lihat http://www.malaysiakini.com/news/51104) dan walaupun sokongan orang ramai terhadap forum ini terus bertambah, malangnya Kerajaan terus tunduk kepada tuntutan kumpulan perusuh-perusuh tersebut, lalu mengharamkan sebarang forum mengenai isu persefahaman antara agama.

Advokasi mahkamah dan media

Ahli-ahli gabungan ini juga telah mewakili individu yang memerlukan bantuan untuk mendapatkan penyelesaian undang-undang, serta telah melantik peguam-peguam untuk menjadi pemerhati di dalam kes-kes mahkamah bagi isu-isu yang melibatkan kesukaran mendapatkan keadilan dan kebebasan beragama.

Sebagai aktiviti program advokasi melalui media, ahli-ahli gabungan turut memberikan wawancara dan mengeluarkan kenyataan media serta menghantar surat kepada pengarang akhbar. Selepas arahan pengharaman bicara (“gag order”) oleh Kerajaan, forum-forum Artikel 11 telah dihentikan and segala kenyataan gabungan ini tidak lagi disiarkan oleh pihak akhbar. Sebaliknya, kumpulan-kumpulan yang menentang Artikel 11 dengan bebas menggunakan media dan pelbagai jentera Kerajaan dan bukan kerajaan, untuk terus menyebarkan pelbagai tohmahan, fitnah dan dakwaan palsu terhadap gabungan ini.

Program kesedaran awam

Artikel 11 telah menjalankan taklimat untuk kumpulan dan individu yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai hak-hak mereka di bawah Perlembagaan dan juga mengenai gabungan ini.

7. Bukankah salah bagi Artikel 11 untuk membincangkan isu-isu yang “sensitive” dan penuh dengan emosi di dalam forum awam?

Tidak. Forum awam itu diadakan dalam sesi tertutup dan dalam keadaan terkawal, dan semua yang hadir mendaftarkan nama mereka. Forum ini menjemput para aktivis, ahli akademik, peguam dan ahli politik sebagai penceramah untuk membincangkan Perlembagaan Persekutuan dan hal yang berkaitan dengannya. Forum itu sendiri telah berjalan dengan lancar dan aman dan tiada perkara yang tidak diingini berlaku yang telah menimbulkan masalah di sepanjang sesi perbincangan tersebut. Satu-satunya gangguan yang diterima hanyalah dari luar dewan forum oleh individu-individu yang menyerbu dan enggan berdialog secara rasional, dan enggan membenarkan pihak lain untuk mempraktikkan hak kebebasan bersuara mereka.

Isu-isu yang diperbincangkan mungkin “sensitif” tetapi ia dijalankan secara matang, profesional dan rasional. Malahan, membincangkan isu “sensitif” secara terbuka dan bertanggungjawab merupakan cara baik untuk memupuk persefahaman dan harmoni bersama. Mengelak dari melakukan perbincangan hanya kerana sesuatu itu dianggap “sensitif” akan menambahkan lagi “kesensitifan”nya dan menambah lagi prejudis yang wujud dan berkembang di kalangan pihak-pihak terbabit kerana peluang perbincangan tidak wujud.

8. Apakah rancangan Artikel 11 setelah menerima protes mengenai forum awamnya?

Kita tidak akan dapat bersatu jika kita tidak menyuarakan isu-isu yang meresahkan dan menggusarkan diri kita. Menghalang mengadakan perbincangan tidak akan dapat menyelesaikan isu-isu bermasalah ataupun dapat membuatkan masalah itu hilang dengan sendirinya. Adalah amat penting bagi kita berbincang dan meneliti pandangan-pandangan berbeza bagi tujuan mencari jawaban kepada isu-isu yang boleh menjejaskan perpaduan nasional.

Artikel 11 berharap agar dapat terus mengadakan dialog secara rasional dengan semua pihak terlibat bagi memperbetulkan sebarang salah tanggapan mengenai gabungan ini, dan untuk meneruskan aktiviti-aktiviti kesedaran awam.

Artikel 11 juga sangat berharap dapat bertemu dengan Perdana Menteri serta pembuat-pembuat keputusan dan dasar negara untuk membincangkan isu-isu yang memerlukan perhatian serius.

9. Adakah Artikel 11 bertujuan untuk menubuhkan Suruhanjaya Antara Agama (IFC)?

Ini bukanlah salah satu daripada objektif Artikel 11, walaupun beberapa individu dan kumpulan yang terlibat dalam inisiatif IFC juga turut terlibat di dalam Artikel 11.

Tujuan penubuhan IFC adalah sebagai satu badan statutori yang bersifat sebagai pendamai bagi memupuk perpaduan nasional di kalangan penganut-penganut pelbagai agama dan kepercayaan di Malaysia. Tidak seperti tohmahan dan tuduhan yang dilemparkan, cadangan penubuhan IFC sebenarnya tidak bertujuan untuk mempunyai kuasa undang-undang dalam menyelesaikan sebarang isu. Kita, sebagai rakyat Malaysia, seharusnya mengalu-alukan inisiatif ini sebagai satu cara untuk menyelesaikan permasalahan secara aman dan melalui persefahaman. Malangnya, pihak Kerajaan telah menolak mentah-mentah cadangan penubuhan IFC itu.

Artikel 11 adalah satu inisiatif yang berasingan. Tiada perbincangan mengenai IFC dibuat dalam forum awam Artikel 11 atau dalam aktiviti-aktivitinya yang lain.

10. Adakah Artikel 11 menentang kedudukan agama Islam di Malaysia?

Tidak. Artikel 11 menghormati Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa, “Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.” Kami juga mendukung Perkara 4(1) yang memberi jaminan bahawa Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang teragung di Malaysia.

11. Adakah Artikel 11 dan aktiviti-aktivitinya mencampuri urusan atau menghina Islam?

Tidak. Tiada seorang pun dari penceramah forum maupun ahli-ahli gabungan Artikel 11 mempersoalkan pentadbiran undang-undang Syariah ke atas orang Islam dalam hal ehwal undang-undang persendirian dan undang-undang keluarga.

Walaubagaimanapun, gabungan ini amat prihatin mengenai konflik antara undang-undang Syariah dengan undang-undang sivil dan kesan negatifnya ke atas hak-hak individu. Oleh kerana kami tidak menentang Islam, perkara ini tidak patut dilihat sebagai menghina atau menjatuhkan Islam, bahkan sebagai usaha advokasi untuk melindungi kebebasan dan hak-hak asasi setiap individu.

12. Adakah Artikel 11 bertujuan mengurangkan kuasa Sultan-Sultan dan pihak berkuasa dalam hal-ehwal agama?

Tidak. Artikel 11 amatlah menghormati Sultan-Sultan sebagai pemerintah Beraja Berpelembagaan, dan pihak berkuasa dalam hal-ehwal agama, yang tertakluk di bawah Perlembagaan Persekutuan dan berkewajipan mendukung kedaulatan undang-undang.

13. Adakah Artikel 11 bertujuan untuk mengurangkan status Mahkamah Syariah?

Tidak. Pendirian kami adalah seperti pendirian Malaysia semenjak Merdeka dan tidak akan mengurangkan bidang kuasa Mahkamah Syariah sepertimana mengikut ketetapan Perlembagaan Persekutuan yang sedia ada.

Walaubagaimanapun, dalam mana-mana kes di mana sebelah pihak dalam satu pertikaian bukanlah penganut agama Islam, atau apabila Dewan Perundangan Negeri sebenarnya tidak menggubal undang-undang bertulis mengenai perkara yang dipertikaikan, maka pendirian yang patut diambil adalah bahawa mahkamah sivil mestilah pembuat keputusan muktamad dalam perkara tersebut. Sekiranya kesemua pihak yang terlibat dalam pertikaian adalah orang Islam, dan perkara yang dipertikaikan adalah sepenuhnya berkaitan undang-undang peribadi Islam yang telah digubal oleh Dewan Perundangan Negeri, maka yang demikian mahkamah sivil berhak untuk menolak dari campur tangan dalam kes Mahkamah Syariah. Situasi sekarang merupakan suatu masalah kerana individu bukan penganut agama Islam diarahkan juga untuk pergi ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan penyelesaian undang-undang, sedangkan mereka bukanlah tertakluk di bawah undang-undang Syariah.

14. Apakah pendirian Artikel 11 mengenai isu murtad?

Gabungan ini percaya bahawa peruntukan Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan, “Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya” mestilah dihormati sepenuhnya.

Kami sama sekali tidak menggalakkan orang Islam meninggalkan agama Islam, dan kami memperakui bahawa Perkara 11(4) menyekat pengembangan sebarang agama atau kepercayaan antara orang-orang yang menganuti agama Islam. Namun, negara kita perlu mengambil kira realiti penukaran agama yang dilakukan secara rela dan atas kemahuan sendiri. Kami prihatin terhadap individu-individu yang menghadapi ancaman atau ketidakadilan akibat daripada penukaran agama mereka.

Undang-undang boleh diperkenalkan bagi memastikan bahawa mana-mana orang yang menukar agamanya tidak boleh mengelak dari melaksanakan sebarang tanggungjawabnya yang termaktub di dalam undang-undang, terhadap ahli keluarga dan masyarakatnya, hanya dengan menukar agama mereka. Undang-undang tersebut bukan bertujuan untuk mencegah, menghukum atau menghalang penukaran agama itu sendiri, namun undang-undang tersebut mesti memastikan agar penukaran agama tidak dijadikan jalan keluar bagi seseorang melepaskan diri dari tanggungjawab yang sepatutnya dipikul dan dilaksanakan olehnya.

15. Adakan Artikel 11 cuba memansuhkan Perkara 121(1A) dalam Perlembagaan?

Tidak. Perkara 121(1A) menyatakan: “[Mahkamah Tinggi sivil] tidaklah mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah Syariah.”

Ini hanyalah bermaksud bahawa jika sesuatu perkara itu jatuh tepat dan hanya di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah, maka Mahkamah Tinggi Sivil tidak akan menghakimi perkara-perkara tersebut. Tafsiran ini tidak mengurangkan sebarang bidang kuasa Mahkamah Syariah dan juga tidak mengurangkan sebarang bidang kuasa Mahkamah Tinggi Sivil, sepertimana bidang kuasa mereka sebelum Perkara 121 (1A) dimasukkan dalam Perlembagaan.

Konflik kuasa undang-undang yang telah timbul bukanlah disebabkan oleh undang-undang bertulis tetapi akibat dari pembacaan dan kefahaman tentang Perkara 121(1A) yang terpesong, dan juga akibat kegagalan badan kehakiman dalam menafsir dan menguatkuasakan undang-undang berkenaan. Beberapa orang hakim telah menafsirkannya sebagai menidakkan atau menegah Mahkamah Tinggi sivil daripada mendengar/menghakimi sebarang perkara yang pada pandangan mereka berkaitan dengan agama Islam. Beberapa hakim juga mempunyai tanggapan, yang tidak berlandaskan pada asas undang-undang, bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa yang selari dengan Mahkamah Tinggi.

16. Apakah yang boleh saya bantu?

  • Menyokong surat terbuka Artikel 11 (http://www.petitiononline.com/constsup/petition.html) dan menghantarkannya kepada Ahli Parlimen di kawasan anda (http://www.parlimen.gov.my/DewRakyat_AhliDewan_2.php)

  • Membaca Perlembagaan Persekutuan dan mengetahui betul-betul tentang hak-hak anda yang telah pun dijamin di dalam Perlembagaan

  • Berbincang mengenai isu-isu ini bersama sahabat handai dan ahli keluarga

  • Menulis kepada akhbar untuk mengutarakan pandangan anda mengenai isu-isu ini

  • Mengadakan perbincangan dan menjemput ahli-ahi Artikel 11 untuk memberi penerangan

  • Lawati laman web Artikel 11 (www.article11.org) untuk mengetahui perkara ini dengan lebih lanjut, dan hubungi kami di feedback@article11.org untuk mendapatkan sebarang maklumat