17 Mei 2006
Forum Artikel 11 tidak membangkitkan isu IFC
Merujuk kepada laporan terbitan Berita Harian bertajuk “Demonstrasi Cara Bodoh” (16 Mei 2006), Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), sebagai urus setia bersama gabungan Artikel 11, ingin menyatakan bahawa laporan pihak tuan mengandungi kesalahan fakta.
Laporan yang dirujuki itu mengatakan bahawa forum yang dianjurkan oleh Artikel 11, dengan Aliran, “membincangkan isu berkaitan Suruhanjaya Antara Kepercayaan Agama (IFC) termasuk sistem kehakiman dan penolakan sebarang usaha menjadikan Malaysia negara teokratik.”
Di sini kami ingin menyatakan bahawa Artikel 11 tidak pernah membangkitkan isu IFC, seperti terkandung dalam laporan tersebut. Sebaliknya, forum yang dianjurkan di Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Lumpur membincangkan isu kehakiman di Malaysia, serta menegakkan keagungan Perlembagaan Persekutuan. Namun begitu, ketiga-tiga forum ini juga membincangkan hak kesemua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa atau agama.
Kes Nyonya Tahir, Moorthy dan Shamala digunakan sebagai contoh di mana bidang kuasa Mahkamah Tinggi semakin tergugat. Selain itu, kes-kes tersebut juga menunjukkan bahawa perlu wujud satu sistem kehakiman di mana semua golongan masyarakat Malaysia dapat dilindungi.
Matlamat Artikel 11 adalah untuk:
menyeru kerajaan dan badan kehakiman untuk mendukung keagungan Perlembagaan Persekutuan.
menyeru kerajaan untuk memastikan pemerintahan sejajar dengan peruntukkan-peruntukkan Perlembagaan Persekutuan dan berlandaskan nilai-nilai sejagat kesemua rakyat Malaysia.
menyeru kerajaan untuk mengesahkan bahawa Malaysia tidak akan menjadi satu negara teokratik.
menyeru kerajaan supaya merestui kedudukan sewajarnya badan kehakiman dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan sebagai sebuah anggota Kerajaan Persekutuan yang bebas dan setanding.
Gabungan Artikel 11 berasaskan beberapa prinsip yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan Konvensyen-konvensyen Hak Asasi Manusia, iaitu:
Tiada diskriminasi berasaskan agama, bangsa, keturunan, asal usul kelahiran atau jantina.
Kedua-dua ibu-bapa, mempunyai hak samarata sebagai penjaga dalam segala aspek penjagaan anak-anak
Kanak-kanak dilindungi daripada sebarang diskriminasi di atas dasar agama dan dalam apa jua situasi, hak kanak-kanak merupakan yang terpenting
Kebebasan berfikir, perasaan hati dan kepercayaan bagi setiap orang perlu dihormati, dijamin serta dilindungi
Setiap rakyat mempunyai tanggungjawab untuk menolak diskriminasi dan ketidaktoleransi berasaskan agama dan kepercayaan
Setiap rakyat mempunyai tanggungjawab untuk mempraktikkan agama atau kepercayaan bagi menyokong dan mempertahankan keamanan dan kemartabatan sejagat
Dalam pada itu, WAO bagi pihak Artikel 11 menyeru pihak tuan, Berita Harian Publishing, untuk memperbetulkan laporan yang tidak menepati fakta seperti yang diatas, dan mencetak maklumat yang betul dan jitu.
Sekian, terima kasih.
Vizla Kumaresan
Programme Officer
Women’s Aid Organisation bagi pihak Artikel 11