19 Mac 2007
Kepada Tuan Pengarang:
Persatuan Pergerakan Wanita (AWAM) amat runsing setelah mengetahui keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes R. Subashini. Kesan utama keputusan tersebut adalah suaminya, T. Saravanan, boleh mengubah agama anak-anak mereka tanpa kebenaran isterinya, serta memulakan prosedur di Mahkamah Syariah untuk memutuskan kes perkahwinan mereka dan mendapatkan hak penjagaan anak.
Kami berasa terganggu dengan keputusan Yang Amat Arif Hasan Lal bahawa R. Subashini harus mencari relif di Mahkamah Syariah dalam hal ini. Kami juga mengambil perhatian akan komen Yang Amat Arif Suriyadi bahawa T. Saravanan tidak melampaui batas hak perlembagaannya dalam membawa perkara berkenaan dengan perkahwinan sivilnya kepada R. Subashini ke Mahkamah Syariah. Ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang jelas memperuntukkan bahawa undang-undang Syariah hanya diaplikasikan kepada mereka yang beragama Islam. R. Subashini memegang kepercayaan Hindu. Kami ingin tanya: bagaimana dengan hak-hak R. Subashini dan juga anak-anaknya?
Perkahwinan R. Subashini kepada T. Saravanan dilakukan melalui sistem sivil. Dengan memaksanya mencari relif melalui Mahkamah Syariah, R. Subashini telah dirampas hak undang-undangnya di bawah Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976.
Kami juga risau bahawa hak anak-anak mereka telah ditolak ke tepi. Tanggungjawab menetapkan agama anak terserah kepada kedua-dua ibubapa. Kalau persetujuan tidak boleh dicapai, anak-anak mereka boleh memilih agama sendiri setelah mencapai umur 18; ini adalah umur majoriti di Malaysia. Sehingga masa tersebut, status agama anak-anak mereka tidak sepatutnya berubah.
Prinsip pertama Rukun Negara adalah ‘Kepercayaan kepada Tuhan’. Agama memainkan peranan yang penting dalam kehidupan. Memang tidak adil apabila seorang ibu atau bapa terhilang haknya untuk membuat keputusan yang begitu mustahak dan mempunyai potensi memberi kesan terhadap masa depan anak-anaknya. Tambahan pula, anak-anak R. Subashini tidak diberikan pilihan samada mereka ingin megubah kepercayaan seperti ayah mereka atau tidak.
Di sini terdapat sebuah persoalan moral yang lebih besar, iaitu penderitaan yang dialami oleh R. Subashini dan wanita-wanita lain sepertinya. Kalaupun dia memenangi hak penjagaan, ada kemungkinan dia dihalang daripada mengkongsi pengetahuan adat resam dan kebudayaan India kepada anak-anaknya. Ini sudahpun berlaku dalam kes Shamala. AWAM khuatir setiap pergerakan yang diambil oleh R. Subashini semasa mendidik anaknya akan diperiksa teliti untuk memastikan anak-anaknya tidak ‘terdedah’ kepada agama Hindu. Pada masa di mana agama sinonim dengan identiti etnik, ini mungkin juga, secara malangnya, merangkumi kebudayaan India.
Kes R. Subashini merupakan contoh masalah dalam realiti harian perundingan hak dan kuasa undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan. Kami bersetuju dengan Yang Amat Arif Sri Ram bahawa Perlembagaan Persekutuan hanya memberi kuasa undang-undang kepada Mahkamah Tinggi Syariah dalam perkara sivil apabila semua pihak beragama Islam; mana-mana interpretasi yang lain akan menyebabkan ketidakadilan terhadap pasangan yang bukan beragama Islam. Perlembagaan Persekutuan bukan sekadar dokumen sahaja. Interpretasi tertentu mengenai hak kuasa undang-undang mempunyai akibat sosial yang lebih luas daripada kes dua pihak dihadapan mahkamah.
Pertama sekali, bagaimanakah seorang wanita bukan Islam boleh berasa selamat berkahwin dan melahirkan anak apabila suaminya berpotensi menyalahgunakan keputusan Mahkamah Rayuan ini sebagai suatu ancaman - untuk mengubah agama dan seterusnya, mengambil anaknya? AWAM risau golongan suami yang bersikap ganas boleh mengunakan ancaman ini untuk menghalang isteri mereka daripada membuat laporan polis walaupun keganasan rumahtangga berlaku. Ini akan memaksa kedua-dua pihak isteri dan anak menderita tanpa peluang bersuara.
Perkara kedua: cara kes-kes dilaksanakan seperti dalam Subashini dan Shamala tidak membantu perjuangan untuk menyatukan negara. Perasaan ketidakadilan dan kecewa yang ketara akan menjadikan sambutan Merdeka yang akan datang suatu cemuhan. Setakat mana kejayaan kita sebagai sebuah Negara sebenarnya, apabila penderitaan dan ketidakadilan dianggap hanya sebagai kesan sampingan? Selepas lima puluh tahun sejak kita mula merealisasikan harapan dan impian sebuah negara berdaulat, warga Malaysia sebenarnya merasa semakin terasing antara satu sama lain berbanding dulu.
Honey Tan Lay Ean
Pengarah Eksekutif
Persatuan Pergerakan Wanita (AWAM), ahli gabungan Article 11
No. 85, Jalan 21/1, SEA Park
Petaling Jaya, 46300 Selangor
Tel : 03-7877 4221
Fax : 7874 3312
Email : awam@awam.org.my